SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mendakwa laporan media berhubung kenyataannya mengenai jangkaan tarikh persidangan Parlimen hari ini, telah disalahtafsir.
Beliau berkata, laporan media arus perdana itu yang turut dipetik oleh portal berita lain berkaitan kenyataannya mengenai perutusan khas Perdana Menteri ketika mengumumkan Pelan Pemulihan Negara, disifatkan tidak benar.
Katanya, laporan itu memetik kenyataannya yang menyifatkan keputusan Perdana Menteri bahawa tempoh persidangan semula Parlimen pada September atau Oktober ini adalah ‘rasional’ dan ‘boleh diterima’.
“Saya hanya menyatakan bahawa Perdana Menteri telah menyatakan komitmen untuk mengadakan semula Parlimen pada September atau Oktober 2021 dan beliau juga telah menjelaskan alasannya.
“Seperti yang dinyatakan di atas, saya tidak pernah menegaskan dan tidak juga membuat kesimpulan bahawa keputusan Perdana Menteri “rasional”, atau bahawa “diterima dan tidak terlambat. Pernyataan saya dalam laporan berita itu tidak benar,” katanya.
Azhar berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang komen berhubung kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, semalam.
“Apa-apa laporan yang merujuk kepada komen saya mengenai perkara itu adalah tidak benar, saya mendesak pihak berkenaan untuk membetulkan kesalahan tersebut dengan segera.
“Ia bagi mengelakkan maklumat mengelirukan dilaporkan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, sebagai Speaker Dewan Rakyat, tugas dan komitmennya terhadap demokrasi berparlimen tetap teguh.
“Saya telah berulang kali menegaskan bahawa Parlimen bersedia untuk bersidang semula dalam setiap aspek, selaras kesesuaian Perlembagaan Persekutuan dan Perintah Tetap.
Terdahulu, media memetik kenyataan Azhar melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak menetapkan tarikh persidangan Parlimen mengikut waktu yang dirasakan sesuai oleh beliau. – Malaysiapost

