Jangan politikkan titah Agong mengenai sidang Parlimen

0
1
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Tok Mat

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mempolitikkan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pembukaan Parlimen tidak akan membantu pemulihan pantas Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan wajar memanggil persidangan Parlimen segera dan jangan berdolak-dalih dengan alasan bahawa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah tidak bertitah bulan berapa Parlimen harus bersidang.

Katanya, Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka, selain ia adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan.

“Pengumuman Kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh di buka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian.

“Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, beliau menyeru dengan tegas agar titah dan hikmah Seri Paduka Baginda diterjemahkan segera.

“Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan Parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi Raja yang bebas dan berada di atas politik,” katanya.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda bersama-sama Raja-raja Pemerintah telah mengemukakan pandangan bahawa tidak wujud keperluan untuk Pengisytiharan Darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

“Baginda mengusulkan Parlimen segera bersidang. Raja-raja Pemerintah di peringkat negeri juga telah berkenan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibenarkan bersidang,” katanya.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Al-Sultan Abdullah tidak memperincikan bila persidangan Parlimen perlu dilaksanakan.

Katanya, Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Takiyuddin berpandangan, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober, juga bertepatan dengan saranan ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here