Umno mendokong, memandang serius titah Agong

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

UMNO akan mendokong dan memandang serius titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah akan keperluan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu ingin merafakkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih tidak terhingga kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sentiasa menjadi sandaran dan payung tempat rakyat berteduh di saat-saat rakyat amat susah dan gelisah memikirkan tentang kelangsungan hidup.

“Umno menjunjung kasih dan menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda yang telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah hari ini, baginda menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dan tiada keperluan darurat disambung selepas 1 Ogos.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

Mengulas mengenainya, Ahmad Zahid berkata, Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan.

“Saya amat menghargai kecaknaan Seri Paduka Baginda yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika sesi mengadap pada 11 Jun lalu.

“Umno juga turut mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos ini kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, sedangkan tanpa darurat kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here