Agong tidak bertitah bila Parlimen perlu dibuka – Takiyuddin

0
2

YANG di-Pertuan Agong tidak menyebut masa tertentu dan menetapkan tarikh untuk sidang Parlimen dibuka segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tarikh yang dinyatakan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang Parlimen juga sudah hampir tiba.

Katanya, kerajaan sebelum ini pun sudah bercadang untuk membenarkan sidang Parlimen pada September depan.

“Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan perlu diadakan pada bulan berapa (sidang Parlimen) tapi secepat mungkin, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga berkata bulan September akan diadakan sidang Parlimen.

“Sekarang kita sudah hampir penghujung Jun, ada Julai dan Ogos dan September sudah hampir dan kita pasti akan ada sidang Parlimen,” katanya dalam program khas anjuran HarakahDaily, hari ini.

Takiyuddin menjawab pertanyaan moderator, Badzli Bakar mengenai kenyataan rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini yang mahu persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Begitu juga dalam seruan Yang di-Pertuan Agong mengenai peranan Ahli Parlimen supaya menjadikan Parlimen ini penting untuk membincangkan perkara berkaitan Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong tidak titah dengan perkara lain, Tuanku titahkan mengenai Covid-19, kita akan fokus dengan pandemik Covid-19,” kata Takiyuddin lagi.

Dalam perutusan Pelan Pemulihan Negara semalam, Muhyiddin berkata sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, beliau memberikan komitmen berhubung perkara itu dan ia adalah pendiriannya sejak dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai apabila kes Covid-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here