Pemuda Umno menjunjung kasih titah Agong

0
2

PEMUDA Umno menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu yang menitahkan kerajaan segera mengadakan sidang Parlimen tanpa perlu menunggu sehingga Oktober sebagaimana perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebagaimana titah Seri Paduka Baginda, Parlimen penting untuk segera bersidang bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Bagi Pemuda Umno, perbahasan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan-Ordinan Darurat perlu segera dibahaskan bagi memastikan segala harapan dan tuntutan rakyat yang sedang susah, resah serta gelisah menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini dapat dibawa secara rasmi melalui platform rasmi Parlimen.

“Mudah-mudahan melalui sidang Parlimen kelak, segala permintaan yang dihasratkan rakyat termasuk isu Bantuan tambahan sempena PKP, moratorium automatik, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai aspek pengurusan Covid-19 dan vaksinasi dapat diperhalusi serta diperbahaskan dengan penuh tanggungjawab di Parlimen kelak. Daulat Tuanku!,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asyraf berkata, Pemuda Umno menjunjung kasih atas kecaknaan, keprihatinan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah hari ini, baginda menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Seri Paduka Baginda bertitah, baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here