Sidang Parlimen dibuka September tidak masuk akal – Zahid Hamidi

0
2

KETETAPAN kerajaan berhubung sidang Parlimen hanya boleh diadakan selepas negara memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) disifatkan sebagai  tidak masuk akal oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berpendapat keputusan yang diumumkan Perdana Menteri  Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat semalam juga mengelirukan.

“Saya tidak pasti apa kaitan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin baru Parlimen akan dibenarkan bersidang semula iaitu dianggarkan sekitar bulan September atau Oktober 2021.

“Sedangkan barisan Ahli Parlimen telah lama menerima suntikan vaksin Covid-19 yang bermakna sidang Parlimen sepatutnya adalah selamat untuk diadakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, sidang Parlimen juga masih boleh diadakan secara maya seperti yang dilakukan negara lain dan ketetapan kerajaan PN sidang Parlimen hanya boleh diadakan selepas negara memasuki fasa ketiga PPN adalah tidak masuk akal.

“Lebih mengelirukan apabila dimaklumkan pada fasa ketiga semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali bagi aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif.

“Senarai negatif yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi jangkitan Covid-19 termasuk pub, spa dan salon kecantikan.

“Adakah ini bermakna Parlimen yang merupakan lambang demokrasi negara diletakkan dalam senarai negatif yang sama seperti pub, spa dan salon kecantikan?” soalnya.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan terus menggesa supaya Parlimen kembali bersidang secepat mungkin sebagai tonggak demokrasi terpenting negara yang mewakili suara serta hak rakyat dan badan perundangan tertinggi di Malaysia.

“Parlimen sebagai proses semak dan imbang terhadap perbelanjaan serta pentadbiran negara supaya ianya telus dan jujur demi kepentingan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here