Azan tidak dapat berkumandang di Masjid Al-Aqsa

0
2
Palestinian flag and sky. Photo taken in the West Bank.

MASJID Al-Aqsa yang diceroboh dan diserang rejim zionis pada Ramadan lalu, mengalami pelbagai kerosakan hingga menyukarkan umat Islam di Palestin melaksanakan ibadah.

Antara kerosakan yang dialami adalah azan tidak dapat dikumandangkan kerana alat pembesar suara telah musnah dibom, sementara tempat mengambil wuduk juga mengalami kerosakan serius.

Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata dia berkesempatan bertanyakan khabar mengenai keadaan Masjid Al-Aqsa melalui sesi perbualan bersama Pengarah dan juga Ketua Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar Fahmi Awaddullah Al-Kiswani, semalam.

“Sehingga kini mereka masih menunggu bantuan kewangan untuk memperbaiki segala kerosakan yang berlaku di rumah Allah yang suatu ketika dulu pernah menjadi kiblat buat kita semua.

“Kepada semua, saya pohon doakanlah agar misi bantuan yang bakal berlepas pada 19 Jun ini selamat tiba bagi menyampaikan bantuan kewangan yang sedikit sebanyak mampu membantu saudara kita di sana,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan Umno akan menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin diketuai Abdul Azeez dengan antara tujuan utama misi berkenaan adalah  membaik pulih Masjid Al-Aqsa yang rosak akibat pencerobohan tentera zionis.

Misi kemanusiaan yang dijadualkan bermula 19 Jun hingga 5 Julai ini, membawa bersama pasukan doktor pakar bagi membantu mangsa yang tercedera dan juga memberikan sokongan serta bantuan psikiatri post trauma kepada warga Gaza yang terkesan dengan serangan rejim zionis baru-baru ini.

Usaha membangunkan semula Gaza juga akan dilaksanakan dengan membantu pembinaan semula lebih 17,000 rumah yang musnah melibatkan 50,000 penduduk, sekolah dan hospital serta kemudahan awam lain yang hancur di bom. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here