Pelan Pemulihan Negara: MOTAC harap pelancongan domestik kembali rancak

0
2
suasana lengang di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka selepas dikawal oleh anggota-anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kawalan tersebut menghalang orang ramai bersesak di sekitar Dataran Merdeka bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di Lembah Klang.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berharap aktiviti pelancongan domestik kembali rancak selepas kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri yang dijangka dibuka pada November dalam Fasa Keempat, Pelan Pemulihan Negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu tertakluk kepada bilangan kes Covid-19 yang rendah, sistem kesihatan awam berada di tahap selamat dan program vaksinasi mencapai tahap imuniti kelompok.

Sehubungan itu, katanya MOTAC menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam berhubung Pelan Pemulihan Negara yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik Covid-19.

“MOTAC menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai 26 Februari lalu bagi mencapai sasaran 80% populasi divaksin agar imuniti kelompok negara dapat direalisasikan.

“Sebagai peringkat permulaan, MOTAC akan memberi keutamaan kepada sub-sektor yang sedang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikategorikan sebagai tourism frontliners menerusi Program Vaksinasi dan Sukarelawan MOTAC.

“Bagi menjayakan program ini, MOTAC mencadangkan kepada MOSTI agar pemberian suntikan vaksin dilaksanakan secara berfasa bermula dengan 30,530 tenaga kerja melibatkan beberapa sub-sektor perkhidmatan pelancongan yang dibenarkan beroperasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nancy berkata perkara itu penting kerana tenaga kerja dalam sektor pelancongan perlu bersama-sama dengan seluruh rakyat untuk mempunyai daya ketahanan diri melawan virus Covid-19.

Selain itu, katanya, MOTAC mengambil inisiatif menawarkan mana-mana fasiliti atau aset bersesuaian di bawahnya untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekiranya diperlukan bagi mempercepatkan proses vaksinasi.

“Sehingga kini, beberapa lokasi telah dikenalpasti, seperti Kompleks Kraf, Kompleks JKKN dan Hotel Seri Malaysia di seluruh negara.

“MOTAC juga bekerjasama dengan pihak Industri seperti Malaysian Association of Hotels (MAH), Malaysia Association of Hotel Owners (MAHO) dan Malaysian Association of Covention & Exhibition (MACEOS) bagi tujuan penggunaan fasiliti hotel serta pusat konvensyen untuk dijadikan PPV,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here