Bersatu Arau sokong penubuhan Majlis Pemulihan Negara

0
2

BERSATU Bahagian Arau menyatakan sokongan terhadap penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Ketuanya, Ameir Hassan berpendapat sokongan padu kepada Dr Mahathir melalui pelan tindakan itu dapat mengembalikan kekuatan bagi menyelamatkan negara dalam perang menentang Covid-19.

Menurutnya, sehingga semalam 4,069 rakyat sudah terkorban wabak itu dan hanya mereka yang berhati batu atau sudah hilang pertimbangan sahaja mampu mengambil dan memandang ringan perkara berkenaan.

“Pelan tindakan MPN wajar disambut dengan sesuci hati kerana ia suatu perancangan yang ternyata bebas dari pengaruh politik.

“Keputusan politik mesti diketepikan dan bukan masanya lagi untuk berpolitik kerana keselamatan rakyat adalah agenda utama.

“Pengaruh politik tidak boleh lagi mengganggu setiap keputusan eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, ahli-ahli MPN kelak harus dilantik dari mereka yang berpengalaman dan berilmu serta bukan berminat untuk mencari kedudukan dalam pemerintahan dan politik negara.

Beliau berkata masih terdapat pemimpin veteran negara yang masih peka dan segar pemikiran mengikuti arus perkembangan politik, ekonomi dan keselamatan seperti bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Hanif Omar.

“Kita tidak boleh lagi terus bergantung kepada kerajaan yang lemah untuk menang dalam sesuatu peperangan.

“Majlis Raja-Raja Melayu adalah kubu terakhir bagi rakyat yang masih mengharap Tuanku akan melaksanakan semak dan imbang sebagai ikhtiar terakhir untuk menamatkan kerajaan yang gagal dengan memperkenankan MPN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here