
PERBINCANGAN Khas Raja-Raja Melayu bermula sebentar tadi dengan dihadiri para Sultan serta Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Antara lain, perbincangan dijangka memberi tumpuan terhadap isu penularan wabak Covid-19 serta pengisytiharan proklamasi darurat yang bakal berakhir pada 1 Ogos ini.
Turut kelihatan memasuki Istana Negara ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata dalam sesi menghadap para pemimpin parti politik bermula 9 hingga 15 Jun, Yang di-Pertuan Agong berkenan mendengar pandangan mereka tentang pelbagai isu.
Menurutnya, sesi menghadap itu adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda dan berkaitan usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh Darurat.
Susulan sesi menghadap itu, pandangan yang dikemukakan oleh para pemimpin parti politik akan diwasilkan dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu hari ini yang akan bermula pada jam 2.30 petang.
Selain itu, beberapa pakar dan agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara dalam Perbincangan Khas Raya-Raja Melayu. – Malaysiapost
