PAKATAN Harapan (PH) berkata kerajaan tidak boleh meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dengan membiarkan rakyat kelaparan.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan harus mencari jalan bagi memastikan rakyat dapat dibela dengan memberikan suntikan bantuan kewangan.
“Kita tidak boleh terus dengan PKP dan biar rakyat lapar, mesti ada suntikan kewangan. Orang akan tanya dari mana nak dapatkan sumber kewangan kalau pinjam pun pinjamlah,” katanya dalam sesi webinar malam tadi.
Presiden PKR itu mengadakan sesi webinar bertajuk Memimpin Negara Pasca Covid-19 dan Melonjak Semula Ekonomi Negara bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kenyataan bercanggah antara menteri-menteri Kabinet Perikatan Nasional (PN) juga menyebabkan pelaksanaan dasar kerajaan terencat dan tidak seragam.
Justeru itu, Anwar berkata perlu ada penyeragaman tindakan lanjutan di peringkat kerajaan pusat, negeri dan daerah bagi memastikan pelaksanaan PKP dapat mengoptimumkan pengawalan pandemik Covid-19.
“Kerajaan sekarang memang gagal kerana setiap hari kenyataan bercanggah, ramai ‘panglima besar’ tetapi tidak seragam pendapat mereka.
“Hari ini buat kenyataan dan esok disanggah oleh menteri yang lain, ada menteri yang kritik keputusan Kabinet dan sebagainya.
“Ini tentunya mengelirukan sebab itu kita perlu ada satu di peringkat pusat, negeri dan daerah,” katanya. – Malaysiapost

