Serap 14,000 pegawai perubatan, jururawat kontrak ke jawatan tetap

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan 14,000 pegawai perubatan dan jururawat kontrak yang dilantik bagi memerangi Covid-19 baru-baru ini, dapat terus diserap ke jawatan tetap.

Beliau berkata, khidmat mereka sangat diperlukan bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak runtuh dan beroperasi dengan berkesan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, kemahiran, pengetahuan dan pengalaman mereka perlu dimanfaatkan oleh negara dengan diberi pengiktirafan yang sewajarnya selaku penjawat awam.

“Semalam (kelmarin) di FB saya lihat beberapa gambar petugas kesihatan. Kelihatan bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19. Ada juga yang menjalankan tugas saringan dan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada anggota masyarakat.

“Betapa besar jasa dan pengorbanan para petugas kesihatan kita kepada rakyat dan negara. Lantas saya teringat kepada perutusan kerajaan yang turut menyentuh tentang lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak baru-baru ini,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memaklumkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat terbabit akan dilanjutkan sehingga tahun 2022.

“Ia dikatakan bertujuan meningkatkan kapasiti dan memperkukuh kesihatan awam dalam berdepan pandemik Covid-19.

“Ini bermaksud khidmat lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat kontrak itu setakat yang dimaklumkan hanya sehingga tahun depan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, selepas tempoh tersebut tiada siapa tahu apa status mereka, termasuk kemungkinan kontrak perkhidmatan disambung lagi atau ditamatkan.

“Bukankah lebih elok mereka ini diserap terus sekarang memandangkan khidmat lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat terbabit sangat ‘essential’ dalam perang melawan Covid-19.

“Bukankah kerajaan sendiri yang memaklumkan sistem penjagaan kesihatan negara sedang berada dalam tekanan yang amat luar biasa,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, kerajaan jangan terlalu ‘berkira’ dalam soal berkenaan kerana keberadaan setiap pegawai perubatan dan jururawat terbabit akan meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk rakyat.

“Terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 di Malaysia yang masih buruk berbanding banyak negara lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here