KETUA Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sekali lagi menafikan parti itu telah membentuk penjajaran politik baharu dengan Pakatan Harapan (PH) seperti poster yang tular di media sosial hari ini.
Kata beliau, itu adalah taktik ‘psywar’ penyokong Perikatan Nasional (PN) terutama dari Bersatu yang kepanasan susulan suasana iklim politik negara yang kembali hangat ketika ini.
“Sejak beberapa hari ini tular pelbagai poster cuba menggunakan taktik psywar dengan membentuk persepsi kononnya Umno telah membentuk jajaran kerjasama baharu dengan PH khususnya PKR, DAP dan Amanah.
“Siapa sebenarnya yang kepanasan? Jika diperhalusi profil media sosial yang memviralkan poster ini kebanyakannya menggunakan akaun palsu atau penyokong PN terutama Bersatu.
“Tidak dapat pula dipastikan sama ada mereka adalah penerima elaun tetap JKOM,” katanya di Facebook, hari ini.
Dr. Asyraf juga membidas Bersatu yang sering mengaitkan Umno mempunyai hubungan kerjasama dengan parti gabungan PH.
“Pelik juga geng penyokong Bersatu ni kuat meroyan, walhal mereka lupa yang Bersatu ditubuhkan hasil perbincangan antara Tun Mahathir dengan Lim Kit Siang untuk menubuhkan sebuah parti Melayu sebagai komponen PH bagi menarik sokongan dan memecahkan undi Melayu antara 10 hingga 15 peratus bagi membolehkan PH menang dan memerintah.
“Ternyata formula tersebut berjaya merealisasikan hasrat DAP dan rakan mereka dalam PH menjadi kerajaan selama 22 bulan,” kata Dr Asyraf.
Justeru, beliau menegaskan pendirian Umno konsisten untuk menolak kerjasama politik dengan PH.
“Pendirian Umno sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agong Umno (PAU) pada 28 Mac lalu dan seterusnya diperincikan dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) 25 April jelas UMNO tidak akan bekersama dengan PKR mahupun DAP. Juga tidak akan bersama dengan PPBM dalam PRU-15.
“Sebarang perubahan dasar yang diputuskan di Perhimpunan Agong dan Majlis Kerja Tertinggi termasuk jika mahu membentuk jajaran baharu hanya boleh dibuat dan diputuskan oleh PAU dan MKT.
“Tiada individu hatta presiden parti sekalipun boleh merubah atau meminda keputusan ini. Sehingga hari ini, keputusan tiada kerjasama dengan PH masih kekal. Justeru tidak timbul sebarang bentuk Jajaran baharu. – Malaysiapost

