BIMBANG alat sulitnya akan mengecil menjadi punca utama seorang lelaki di South Derbyshire, England enggan memakai pelitup muka ketika memasuki sebuah pasar raya, lapor akhbar Daily Star.
Lebih menarik lelaki itu turut memberi amaran kepada pelanggan lain agar melakukan perkara sama jika tidak mahu kejadian serupa berlaku pada alat sulit mereka.
Menurut pihak berkuasa, sejak pemakaian pelitup muka diwajibkan, polis menerima banyak aduan berhubung keengganan penduduk mematuhi peraturan itu dan memberikan pelbagai alasan tidak masuk akal.
“Selain alasan pelitup muka mengecilkan alat sulit, polis juga menerima alasan seperti ia akan merendahkan tahap IQ atau kecerdasan otak seseorang.
“Sikap tidak bertanggungjawab ini amat menyedihkan dan menyusahkan banyak pihak. Pelitup muka masih wajib walaupun anda sudah melengkapkan dua dos vaksin kerana masih ada orang yang belum selesai proses vaksinasi mereka,” kata jurucakap Polis West Mercia.
Menurut jurucakap itu, semua penduduk diminta menghormati pekerja sektor peruncitan dan perhotelan jika mereka meminta pengunjung memakai pelitup muka kecuali mempunyai alasan munasabah.
“Sekiranya anda tidak mematuhi peraturan atau melibatkan diri dalam penganiayaan penyedia perkhidmatan, anda mungkin akan diminta oleh pemilik perniagaan untuk meninggalkan premis tersebut.
“Jika anda memutuskan untuk melawan dan bertindak kasar, kami (polis) mungkin diminta untuk datang dan menyelesaikan situasi berkenaan,” katanya. –Malaysiapost

