TMJ tawar diri kendali skuad Harimau Malaya

0
2

TUNKU Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan dirinya untuk mengendali dan mengurus skuad bolasepak kebangsaan.

TMJ menyatakan niatnya untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya dalam saingan kancah bolasepak antarabangsa di laman Story Instagram, hari ini.

“Kepada Presiden FAM, izinkan saya mengendalikan pemain dalam pasukan kebangsaan. Saya akan memberi mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik.

“Saya tidak dapat menjanjikan kejayaan segera, tetapi saya dapat memberi jaminan pasukan ini akan meningkat,” kata pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.

Tawaran Tunku Ismail itu susulan prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan dalam empat aksi antarabangsa baru-baru ini.

Meskipun diperkuat oleh beberapa pemain neutralisasi, Harimau Malaya masih tidak mampu mempamerkan taringnya.

Malah, kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu nyata mengecewakan peminat bolasepak tanahair.

Daripada empat aksi itu, Malaysia kecundang dua kali dalam aksi persahabatan di tangan Kuwait dan Bahrain dengan keputusan 1-4 dan 0-2.

Prestasi tidak bermaya itu berterusan dalam dua aksi kelayakan apabila dibelasah 0-4 kepada UAE sebelum tewas 1-2 dengan Vietnam Jumaat lalu.

Menurut TMJ, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kemerosotan mendadak pasukan meskipun skuad kali ini dilabel antara yang terbaik berikutan kehadiran tiga tonggak naturalisasi iaitu Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

Tambah menarik, kekuatan skuad Harimau Malaya dilihat semakin ampuh apabila pertahanan kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools diumumkan sebagai pemain ke-26 pasukan.

TMJ berkata, beliau akan melakukan perkara sama yang dilaksanakan di JDT sekiranya diberi tanggungjawab untuk menguruskan pasukan negara.

“Anda ingin tahu apakah perkara pertama yang saya buat di JDT? Saya mengawal akses atau pasukan.

“Dari media, wartawan, syarikat dan juga pemain menggunakan media sosial,” kata bekas Presiden FAM itu.

Tambah TMJ, beliau juga akan memastikan kriteria pengambilan pemain naturalisasi diperketatkan bagi membolehkan mereka yang terbaik sahaja menyarung jersi Malaysia.

“Ketika ini menjalankan tugas negara bukan lagi misi atau tugas besar bagi sesetengah pemain. Ia seperti percutian musim panas, sistem mesti berubah.

“Lepas ini naturalisasi jangan sebarang sebarang. Akan dikendalikan dan dianalisis oleh pasukan teknikal pasukan kebangsaan. Sama ada pemain sesuai dengan gaya permainan kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here