Polis siasat pesakit Covid-19 halusinasi tikam pesakit lain

0
2
Petaling Jaya OCPD Nik Ezanee Mohd Faisal -SIDANG MEDIA KETUA POLIS DAERAH PETALING JAYA KEJAYAAN TANGKAPAN DAN RAMPASAN OLEH BAHAGIAN SIASATAN JENAYAH IPD PJ

POLIS menyiasat seorang pesakit Covid-19 yang didakwa mengalami halusinasi sehingga menikam perut pesakit yang lain di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan mengenai seorang pesakit Covid-19 menikam seorang lagi pesakit lain di hospital itu pada 10 Jun lalu.

“Dakwaan suspek berusia 37 tahun itu mengatakan kononnya dia mengalami halusinasi, tetapi polis masih menjalankan siasatan mengenal pasti tahap kesihatan mental suspek sebelum memikirkan tindakan lanjut.

“Suspek kini telah direman enam hari bermula Sabtu lalu sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek sekarang telah dipindah dan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh dengan dikawal ketat oleh polis setiap masa.

“Mangsa iaitu seorang lagi pesakit Covid-19 masih dirawat di HTAR dan keadaan dilaporkan stabil,” katanya dipetik Malaysiagazette, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Ezanee menjelaskan, polis masih lagi menyiasat kejadian membabitkan waris lelaki kepada seorang pesakit wanita Covid-19 yang telah meninggal dunia.

Katanya, insiden pertama berlaku 6 Jun lalu di lobi Wad HTAR dan suspek difahamkan telah menolak serta cuba menumbuk seorang doktor lelaki selepas tercetus keraguan mengenai kematian ibunya.

“Insiden itu dipercayai berlaku selepas waris pesakit Covid berkenaan tidak berpuas hati dengan pegawai perubatan hospital. Waris terbabit cuba menampar doktor, namun doktor itu mengelak, tetapi terkena bahagian telinganya,” katanya.

Tambah Nik Ezanee, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisiober Shamsul Amar Ramli dalam kenyataan terbaharu menjelaskan, insiden menumbuk doktor berpunca daripada salah faham punca kematian ibu kepada seorang lelaki India dan kegagalan pihak hospital memaklumkan keadaan sebenar pesakit menimbulkan keraguan kepada waris.

Si mati sebelum ini dirawat sebagai pesakit biasa dan tidak mempunyai sebarang tanda sebagai pesakit Covid-19.

“Manakala kes pesakit menikam seorang lagi pesakit berlaku sekitar jam 6.30 petang apabila suspek lelaki berusia 37 tahun secara tiba-tiba telah mengambil pisau pemotong buah dan menikam seorang pesakit di bahagian perut.

“Motif kejadian dipercayai suspek dalam keadaan tidak waras (halusinasi). Mangsa berada dalam keadaan stabil dan telah menjalani pembedahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here