PEKERJA pembersihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sri Sendayan, Seremban terkejut selepas menemui seorang bayi perempuan di perhentian bas berhadapan sekolah berkenaan, hari ini.
Bayi yang dibungkus dengan tuala diletakkan di dalam kotak itu ditemui pada jam 11.58 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima maklumat penemuan bayi itu oleh pekerja pembersihan.
Menurutnya, bayi perempuan itu dalam keadaan sihat dan dianggar berusia dua hari.
“Bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Sehubungan itu, katanya polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-7778789,” katanya. – Malaysiapost

