Persatuan Peguam Syarie mohon kebenaran operasi

0
1
Persatuan Peguam Syarie

PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Mahkamah Syariah dan firma guaman syarie beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Presidennya, Musa Awang, berkata keputusan kerajaan menyambung PKP 3.0 daripada 15 Jun sehingga 28 Jun ini menyebabkan Mahkamah Syariah dan industri guaman syariah seluruh negara tidak dapat beroperasi.

“Gesaan ini dibuat berdasarkan beberapa perkara antaranya kes
Mahkamah Syariah bukan hanya tertumpu kepada permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) sahaja.

“Tetapi ia meliputi perkara lain seperti keganasan rumahtangga, permohonan perintah injunksi tegahan terhadap gangguan terhadap fizikal (tubuh badan), injunksi tegahan terhadap harta, perebutan jagaan dan lawatan anak-anak, Perintah Interim jagaan anak, dan sebagainya.

“Berlaku peningkatan luar biasa kes perceraian semasa PKP dengan 6,569 kes didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, apabila berlaku perceraian dalam tempoh PKP, sepatutnya mereka dapat merujuk permasalahan kepada Mahkamah Syariah atau Peguam Syarie sekiranya kedua-dua institusi itu dibenarkan beroperasi.

“Selain itu, kes-kes Keganasan Rumah Tangga (KRT) sepanjang tempoh PKP juga meningkat dengan ketara. Apabila berlaku keganasan dalam rumahtangga, mangsa boleh merujuk perkara tersebut kepada Peguam Syarie untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi Mahkamah Syariah tidak semestinya dijalankan secara fizikal sepenuhnya, ia juga boleh dibuat secara atas talian tanpa melibatkan perjumpaan fizikal.

“Peguam Syarie juga boleh berurusan dengan Mahkamah Syariah secara atas talian untuk prosiding sebutan atau pendengaran kes-kes tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majoriti Peguam Syarie adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma sendiri dan menggaji pekerja dan mereka tidak mencarum dalam KWSP kerana perlu membayar caruman pekerja.

“Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, pinjaman peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan juga perlu dilunaskan.

“Dalam tempoh PKP, perbelanjaan operasi firma Peguam Syarie masih perlu dijelaskan. Majikan terpaksa menanggung bayaran gaji peguam atau gaji kakitangan walaupun Mahkamah Syariah tidak beroperasi dan kes-kes tidak berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya operasi firma-firma Peguam Syarie tidak dibenarkan, risiko untuk pemberhentian pekerja atau menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada kakitangan adalah tinggi.

“Sebagai sebuah Persatuan yang menaungi lebih 4,500 Peguam Syarie di negara ini, kami amat prihatin dengan keadaan yang menimpa ahli-ahli Persatuan dan keseluruhan Peguam Syarie di negara ini, termasuk rungutan daripada masyarakat awam berhubung penangguhan prosiding kes,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here