Ekonomi lumpuh jika kerajaan meneruskan PKP 3.0 separuh masak – DPIA

0
1
Presiden DPIA

SEKTOR ekonomi yang melibatkan kumpulan pertengahan dan bawahan bakal lumpuh jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 separuh masak diteruskan dalam tempoh masa lama.

Kebimbangan itu disuarakan Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan yang menyifatkan PKP 3.0 masih tidak mampu menurunkan angka jangkitan harian Covid-19 kerana penguatkuasaannya tidak seketat seperti PKP 1.0.

“Kesan sejak PKP 1.0 banyak usahawan gulung tikar dan pendapatan mengucup. Majikan tidak dapat bertahan, ramai yang telah dibuang kerja.

“Tempoh pemulihan singkat untuk mereka bangkit kemudiannya bersambung balik ekoran penularan pandemik Covid-19 baru baru hingga kerajaan terpaksa umum PKP3.0,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sohaimi menjelaskan, adalah tidak adil hanya beberapa sektor yang dikelaskan sektor perlu (essential) dibenarkan operasi kerana sektor-sektor lain juga ada kos operasi yang perlu ditanggung.

Katanya, kerajaan perlu menilai semula perkara ini bagi mengurangkan kesan yang perlu ditanggung pemain industri, selain merencana pelan pemulihan ekonomi yang efektif bagi negara .

Justeru, Sohaimi berkata, bagi mengekang wabak itu dengan benar-benar berkesan, kerajaan perlu melaksanakan ‘total lockdown’ seperti mana PKP 1.0, bukannya seperti sekarang kerana usaha menurun angka kes harian kekal tinggi disebabkan masih terdapat pergerakan.

Lebih parah, katanya, apabila terpaksa mengambil masa lama untuk menyambung PKP sehingga meranapkan sektor-sektor lain.

“Sampai bila kita nak tunggu, Covid-19 gagal ditangani. Ekonomi semakin tenat, rakyat menderita dan pengangguran berlaku.

“Begitu juga seperti dengan percanggahan polis, kastam, imigresen dan rantaian komunikasi antara agensi kerajaan dan sebagainya, menyebabkan rakyat yang menjadi mangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sohaimi berkata, PKP 3.0 kali ini selain pihak bank, pemberian moratorium secara automatik perlu diperluas kepada syarikat pinjaman kredit kenderaan seperti Aeon Kredit, termasuk pembelian barangan ansuran.

“Kita tahu golongan B40 yang tidak dapat moratorium beli motosikal guna syarikat Aeon Kredit dan pinjaman kedai tapi tidak dapat moratoriun. Ini golongan yang perlu diberi perhatian yang terlepas pandang.

“Banyak lagi yang boleh difikirkan seperti golongan bandar yang tinggal kondominium, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh campur tangan meminta pihak pengurusan kediaman dan perniagaan mengurangkan caj pengurusan sebanyak 30 peratus.

“Alasannya mudah, banyak fasiliti ditutup dan perniagaan tidak dapat dijalankan,” jelasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here