NASIB seorang wanita warga emas yang terkandas sendirian di tepi Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur malam tadi, mendapat perhatian anggota polis.
Wanita warga emas itu, Yew Siew Poh, 62, terkandas di tepi lebuh raya berkenaan kerana bas dinaikinya dari Kuantan tidak dapat masuk ke bandar Bentong kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Susulan itu, anggota polis yang menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.15 malam segera ke lokasi terbabit untuk menyantuni Siew Poh, menurut Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Wanita tersebut dibantu oleh Inspektor Faizal Shamsir bersama Koperal Nur Amira Ramli yang membawanya ke IPD Bentong.
“Setelah berbincang dengan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, beliau menempatkan warga emas tersebut di Rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Bentong untuk sementara.
“Pada pagi 14 Jun 2021 (Isnin), warga emas tersebut dapat menyewa bilik di Kampung Kemansur,” kata hantaran tersebut.
IPD Bentong memaklumkan, ‘Peace Lady’ atau AMANITA IPD Bentong kemudian telah menyatuni warga emas tersebut di bilik sewanya.
“Warga emas tersebut berasa gembira dengan kehadiran polis dari IPD Bentong.
“Dia juga meluahkan perasaan terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” kata hantaran itu lagi. – Malaysiapost

