BOUSTEAD Properties Berhad (Boustead Properties) menawarkan pengecualian dan rebat sewa berjumlah RM 18 juta bagi membantu peniaga dan syarikat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Boustead Properties merupakan anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Berhad (BHB), menawarkan inisiatif itu selain bantuan komersial dan lain-lain sokongan kepada hampir 350 penyewa di enam hartanah komersialnya di seluruh negara.
Inisiatif tersebut diberikan kepada peniaga dan syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bermungkinan mengalami masalah aliran tunai ketika mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Sepanjang PKP 1.0 dan 2.0, tawaran pengecualian dan rebat sewa yang diberikan oleh Boustead Properties membantu penyewa dalam pelbagai kategori perniagaan serta perkhidmatan yang penting dan kritikal.
Katanya, pihak menyedari akan sektor peruncitan adalah antara yang paling teruk terjejas akibat pandemik, inisiatif Boustead Properties ini membolehkan syarikat dan para peniaga terus beroperasi dan membawa manfaat kepada penyewa dan juga pembeli.
Di “The Curve” dan “Curve NX”, penyewa terdiri daripada pengusaha gerai, kedai serbaneka, fesyen dan aksesori, pusat didik hibur, pusat penjagaan kanak-kanak dan pusat bahasa, kedai makanan dan minuman, pusat penjagaan kesihatan, farmasi, klinik gigi dan perkhidmatan kewangan.
Mohamed Khaled yang juga merupakan Pengerusi BHB berkata, dalam suasana yang luar biasa ini, ada yang menghadapi cabaran lebih besar berbanding yang lain.
“Kami memahami keperluan kitaran penuh komuniti perniagaan kami dan membuat keputusan bahawa sekarang adalah masa yang tepat dan penting untuk membantu penyewa yang kami juga anggap sebagai rakan niaga strategik, sekaligus dapat melindungi kebajikan pekerja mereka.
“Kami juga mahu memastikan kami dapat membantu PKS tempatan yang lebih kecil, dan juga rakyat Malaysia termasuk pengendali gerai makanan, pasar jalanan dan gerai penjaja di pusat beli-belah ini,” katanya dalam satu kenyataan .
Beliau berkata, inisiatif ihsan ini sejajar dengan nilai-nilai kelestarian Boustead Properties, bagi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh para penyewa akibat pandemik dan menggalakkan kesinambungan perniagaan.
Beliau berkata, kumpulan pelaburan dan pemaju hartanah pemenang anugerah itu sedar bahawa dalam suasana paling sukar ini, Boustead Properties perlu merangka semula strategi perniagaan menerusi pendekatan yang lebih empati dan mengambil langkah-langkah yang menjamin kelestarian.
“Bagi bangunan komersial milik Boustead Properties, tawaran pengecualian dan rebat sewa juga membantu meringankan beban penyewa di Menara Boustead, Menara Boustead Pulau Pinang, Wisma Boustead dan Nucleus Tower.
“Para penyewa terdiri daripada syarikat-syarikat yang menyediakan khidmat guaman, pengurusan aset kewangan, insurans, perdagangan, pelancongan, telekomunikasi, kejuruteraan, pengiklanan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan jualan serta kedai makan, PKS dan agensi kerajaan.
“Beban ini seharusnya dipikul bersama. Kumpulan akan melakukan apa yang mampu untuk mengurangkan kesan pandemik sementara menantikan pembukaan semula ekonomi dan fasa pemulihan,” katanya.
Beliau berkata, usaha ini sejajar dengan strategi ‘Reinventing Boustead’ kerana pihaknya yakin inisiatif-inisiatif ini memainkan peranan untuk meningkatkan kelestarian.
“Ia bukan sahaja menjadi pemangkin bagi mencapai pertumbuhan perniagaan mereka pada masa depan, tetapi juga demi manfaat rakan-rakan niaga dan negara secara keseluruhannya,” katanya. – Malaysiapost

