PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan pelumba negara, Syarifuddin Azman yang menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kejayaan Syarifuddin itu sekali gus membuktikan rakyat Malaysia mampu pergi jauh dalam sukan permotoran.
“Sebagai seorang ‘bikers’ saya amat berbangga menerima perkhabaran ini semalam. Pelumba dari Malaysia, Syarifuddin Azman muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol.
“Hebat anak muda. Siapa kata rakyat Malaysia tidak mampu pergi jauh dalam sukan permotoran. Syarifuddin Azman telah pun membuktikannya. Sekali gus mengharumkan nama negara,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, Syarifuddin menewaskan pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez yang menduduki tempat kedua dan Jose Antonio Rueda Ruiz juga dari Sepanyol di tempat ketiga.
“Betapa bangganya mendapat tahu Lagu Negaraku berkumandang di bumi Sepanyol. Saya doakan kejayaan berterusan buat Syarifuddin Azman dalam arena perlumbaan motosikal,” katanya.
Semalam, Syarifuddin Azman mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol.
Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat.
Tempat kedua milik pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dari pasukan Avatel-Cardoso Racing dengan catatan masa 29:32.715 manakala Jose Antonio Rueda Ruiz juga dari Sepanyol di tempat ketiga (29.32.825s). – Malaysiapost

