
Faiz Fadzil
SETELAH kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan lanjutan baru “total lockdown”, kos PKP 3.0 semakin mencekik ekonomi negara dan kuasa beli rakyat.
Malangnya, pakej bantuan Program Strategik Menperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) bukan sahaja tidak mencukupi untuk menampung kos PKP 3.0, malah telah mengenepikan beberapa segmen yang terkesan secara langsung dan ini menyebabkan hidup rakyat semakin tertekan dan terhimpit serta boleh melumpuhkan ekonomi negara.
Pertama, bantuan tunai BPR tambahan hanya dihadkan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah. Namun data Jabatan Perangkaan menunjukkan kumpulan B40 di kawasan bandar adalah berpendapatan bawah RM5,440.
Jadi, mengapa Kerajaan PN mengenepikan golongan berpendapatan RM5,000-RM5439 di bandar daripada menerima BPR?
Malah, banyak isi rumah B40 di negeri-negeri seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor tidak menerima manfaat BPR. Data Jabatan Perangkaan menunjukkan paras pendapatan B40 Johor adalah RM5,400 ke bawah, Pulau Pinang bawah RM5,310 dan Selangor bawah RM6,960.
Kedua, golongan M40 juga telah dianaktirikan dalam pakej Pemerkasa+ ini. Apakah keluarga yang berpendapatan RM6,000 tidak memerlukan sokongan kerajaan?
Bagaimana jika keluarga berkenaan mempunyai ramai anak yang masih bersekolah dan perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk gajet elektronik bagi proses PDPR? Kerajaan pula mengambil langkah flip flop dengan mengumumkan PDPR tanpa tindakan positif memastikan pembelajaran anak-anak berjalan dengan lancar.
Ketiga, kerajaan juga gagal mengumumkan senarai bantuan baharu yang akan dihulurkan kepada perusahaan kecil sederhana (PKS), isi rumah dan pekerja sektor informal.
Sekiranya kerajaan memaklumkan terlebih dahulu jenis bantuan yang akan diberikan, ia akan membina keyakinan dalam kalangan peniaga dan rakyat, serta membantu mereka merancang perbelanjaan mahupun strategi perniagaan.
PDPR sahaja akan menjejaskan pendapatan pelbagai sektor termasuk pengusaha kantin dan golongan pemandu bas/van sekolah, malangnya tiada bantuan kepada perniagaan mereka.
Justeru, negara memerlukan satu pakej rangsangan ekonomi yang berkesan dan menyeluruh, bukannya satu pakej kitar semula idea lama.
Pemerkasa+ adalah polisi kitar semula. Bantuan yang dihulurkan mestilah “means-tested”, bermaksud bersesuaian dengan tanggungan.
Skala pendapatan semata-mata bukanlah metrik yang sesuai, tetapi mesti digabungkan dengan saiz tanggungan keluarga dan kawasan atau negeri kediaman.
Kerajaan tidak boleh menganggap pemberian bantuan tunai ini sebagai satu beban, tetapi ia sebenarnya sama seperti memasukkan duit ke dalam poket rakyat yang seterusnya akan memacu ekonomi menerusi perbelanjaan rakyat.
Oleh itu, satu lagi pakej rangsangan baharu amat penting, tetapi kali ini harus mengambil kira kesan harga barangan keperluan asas di pasaran.
Banyak PKS makin terumbang-ambing dengan anggaran 40% bakal gulung tikar, maka kerajaan perlu memastikan bantuan seperti subsidi upah diperluaskan.
Ketika ini, hanya 200,000 daripada lebih 1 juta PKS menerima manfaat subsidi upah. Gunakan kaedah “means-tested” untuk mengenal pasti PKS ini dan bantulah mereka.
Bantuan kepada PKS amat penting bagi mengelak lebih ramai rakyat kehilangan kerja. Apatah lagi pandemik Covid-19 ini telah membunuh industri pelancongan dan penerbangan, justeru perlu ada bantuan khusus tambahan untuk industri ini termasuk golongan pemandu teksi/pelancong serta PKS yang terlibat dengan rantaian perniagaan industri ini.
Dengan jangkaan kadar inflasi meningkat 5% pada suku kedua tahun ini, kerajaan perlu mengambil langkah konstruktif mengawal harga barangan di pasaran, terutamanya untuk barangan keperluan asas yang semakin mencanak.
Namun, sesuatu yang menjengkelkan dan mengguris perasaan rakyat terbanyak apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato’ Mohd Khairuddin Aman Razali berani mengatakan kenaikan harga minyak masak adalah munasabah.
Beliau langsung tidak mengendahkan kesan harga barang kepada isirumah dan kos perniagaan yang akhirnya akan menekan rakyat selaku pembeli.
Ekonomi Malaysia semakin tenat. Kegagalan kerajaan PN mengguna pakai kaedah yang sesuai untuk menyokong ekonomi akan menyebabkan banyak perniagaan gulung tikar dan kesenjangan pendapatan merosot teruk, terutama golongan miskin bandar.
Akibatnya, ramai rakyat miskin akan menjadi lebih miskin dan menyebabkan masalah sosio-ekonomi dan krisis kehidupan menjadi semakin parah.
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah
(Artikel ini disiar tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)
