USAHAWAN kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang kini masih dalam buruan polis, dikehendaki pula sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.
Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam satu kenyataan, memaklumkan Sajat dikehendaki bagi membantu siasatan kes yang sedang dalam prosiding perbicaraan di mahkamah.
“Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPDD Ampang Jaya masih dalam usaha mengesan saksi bagi perbicaraan di Mahkamah Ampang Jaya.
“Butiran saksi adalah Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang beralamat di Kota Damansara, Seksyen 10, Petaling Jaya, Selangor,” menurut kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Polis Daerah Ampang Jaya Page hari ini.
Menurut kenyataan mengesan saksi yang bertarikh 11 Jun itu, Sajat dikehendaki hadir sebagai saksi di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini bagi prosiding perbicaraan kes yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Saksi berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Syafrina Nadzleen Ibrahim di talian 019-2692954,” katanya. – Malaysiapost

