“Kenapa guna Ordinan Darurat kepada hospital kerajaan?” – soal Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak keliru dengan tindakan kerajaan ‘memaksa’ hospital projek kerajaan untuk membantu usaha memerangi Covid-19.

Najib berkata, mengapa kerajaan perlu mengunakan Ordinan Darurat untuk tujuan itu yang disifatkannya seolah-olah ‘paksa sendiri untuk bantu sendiri’.

“Jap. Kenapa pula kena guna Ordinan Darurat untuk paksa hospital yang merupakan projek kerajaan yang kos operasinya dibiayai oleh bajet kerajaan pusat setiap tahun supaya mereka membantu dalam usaha melawan Covid?

“Ini seumpama sendiri guna ordinan darurat untuk paksa sendiri supaya bantu sendiri. Berkali-kali dipuji Ordinan Darurat walaupun tidak diperlukan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan projek kerajaan yang dilancarkannya pada 2013.

“Kerajaan pusat memberi peruntukan sekitar RM22 juta setiap tahun bagi membiayai kos operasi hospital tersebut. Sebanyak RM21.34 juta diberi untuk tahun 2021 ini iaitu menurun 10% berbanding RM23.7 juta pada tahun 2020,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat HPKK UKM untuk melihat persiapan pihak HPKK sebelum mula menerima dan merawat pesakit Covid-19 minggu hadapan.

Muhyiddin menerusi kenyataan berkata, pengoperasian HPKK UKM sebagai sebuah hospital Covid-19 adalah susulan penguatkuasaan Seksyen 3 dan 4 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah ditandatanganinya pada 4 Jun lalu.

“Melalui kedua-dua seksyen ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh mengambil milikan sementara HPKK UKM dan lain-lain sumber termasuk sumber manusia bagi tujuan menangani pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here