Jangan beri alasan tiada kuasa arah moratorium automatik – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kerajaan supaya tidak memberi alasan tiada kuasa mengarahkan institusi perbankan untuk memberikan moratorium automatik menyeluruh kepada rakyat.

Beliau berkata, perkara itu perlu memandangkan pelaksanaan ‘total lockdown’ dilanjutkan bagi tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa 15 sehingga 28 Jun ini.

Katanya, kerajaan juga dilihat tidak tetap pendirian berhubung perkara itu apabila menyatakan perlu membayar pampasan kepada bank jika mengarahkan moratorium dilaksanakan.

“Kata ada kuasa untuk arah, tetapi perlu bayar pampasan kepada bank. Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pernah menerangkan tentang perkara ini baru-baru ini.

“Namun timbul juga persoalan tentang dakwaan kerajaan perlu bayar pampasan kepada bank jika arah beri moratorium automatik.

“Saya difahamkan, Seksyen 3 dan 5 Ordinan Darurat 2021 cuma menyebut kerajaan boleh memberi arahan pampasan. Perkataan ‘boleh’ bukan bermaksud ‘mesti’. Tidak pasti mengapa ada pihak cuba mengambarkan ia ‘wajib’,” katanya menerusi Facebook.

Justeru itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau sudah menyuarakan agar kerajaan segera mengarahkan bank berikan moratorium secara automatik termasuk diberi tanpa sebarang caj tambahan kepada setiap rakyat yang memerlukan dan perniagaan dalam kesulitan akibat ‘total lockdown’.

“Bukan hanya untuk mereka yang hilang pekerjaan atau perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi.

“Mereka yang masih bekerja pun perlu diberi moratorium akibat pendapatan isi rumah terjejas. Akibat dipotong gaji oleh majikan atau pendapatan daripada aktiviti teksi dan e-hailing berkurangan.

“Perniagaan ‘essential’ yang dibenar beroperasi semasa ‘total lockdown’, tetapi hasil merundum juga perlu diberi moratorium,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, bank bukan sekadar menawarkan penangguhan bayaran pembiayaan namun ianya bersifat ‘refinance’ kepada mereka.

“Adakah bank tidak ada keuntungan jika moratorium ini diberikan? Kita semua tahu bank ada kemampuan untuk beri moratorium secara automatik.

“Bukankah pihak bank masih mencatat keuntungan berbilion ringgit pada waktu pandemik Covid-19.

“Bank sila tolong rakyat. Apabila keadaan kembali stabil, rakyat jua tolong bank buat untung,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan mempunyai kuasa memberikan kompaun kepada rakyat jika enggan bekerjasama dalam berdepan Covid-19 namun tiada kuasa jika bank enggan bekerjasama dalam mendepani wabak Covid-19.

“Justeru kita ulang desakan agar kerajaan arahkan bank segera beri moratorium automatik untuk satu tempoh yang munasabah kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here