Budi bicara Agong tentukan status darurat

0
1

PERSOALAN sama ada Proklamasi Darurat yang akan tamat 1 Ogos ini diteruskan atau sebaliknya, adalah atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan, berkata persoalan seperti mana yang dibangkitkan itu juga tidak seharusnya timbul.

Beliau berkata, ia sebagai mana dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertindak di atas nasihat jemaah menteri selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan berasaskan tanggungjawab utama dan khusus kerajaan dalam menangani Covid-19

“Pejabat ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.

“Beliau (Dr Noor Hisham) turut dilaporkan berkata bahawa kini hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan Darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, maka adalah menjadi tanggungjawab jemaah menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh Darurat.

Menurutnya, ia selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan Covid-19 di kalangan rakyat dengan lebih efektif.

“Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisma yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here