BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara bagi menyelesaikan pelbagai isu dihadapi negara susulan penularan Covid-19.
Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata penubuhan majlis itu bukan untuk menggantikan kerajaan sebaliknya membantu mengurangkan kes Covid-19 sehingga negara mencapai ‘herd imuniti’ atau imuniti kelompok.
Beliau berkata, selain isu kesihatan, majlis itu juga kana terbabit juga akan memberi tumpuan kepada kemerosotan ekonomi serta kewangan selain isu berkaitan pendidikan.
“Dari segi politik, Parlimen akan bersidang dan tindakan majlis akan dibentang kepada Parlimen. Yang menjadi masalah politik ialah percubaan merampas kuasa.
“Malangnya jika kerajaan ditukar, kerajaan baharu juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis. Tindakan politik hanya akan meneruskan masalah,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, Majlis Pemulihan Negara tidak diletak di bawah kerajaan tetapi akan melapor secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata, kewujudan majlis berkenaan akan tamat apabila negara mencapai imuniti kelompok atau sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, majlis itu akan dianggotai pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar ekonomi, pakar pelabur, penggerak sosial, tokoh perundangan dan beberapa tokoh politik yang tidak mewakili parti.
“Keahlian tidak akan lebih daripada 20 anggota. Tidak ada politik dalam Majlis Pemulihan Negara. Majlis ini diperlukan untuk memastikan keputusan pelan tindakan untuk membantu rakyat dapat dibuat dengan segera dan dilaksanakan tanpa melalui terlalu banyak proses birokrasi,” katanya.
Dr Mahathir berkata, keadaan negara ketika ini amat teruk kerana jumlah katil di hospital tidak mencukupi selain tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ekonomi merosot dan kewangan kerajaan terhakis.
“Pada masa sama, politik menjadi kucar-kacir kerana kelemahan kerajaan. Ini disusuli dengan banyak masalah sosial termasuk membunuh diri,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ketika rusuhan di Kuala Lumpur pada 1969, Kerajaan Perikatan mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk isytihar darurat.
Katanya, susulan itu Kerajaan Perikatan Majlis Gerakan Nasional (MAGERAN) bagi menangani masalah yang mencetus rusuhan di Kuala Lumpur.
“Tindakan Tun Razak melalui MAGERAN berjaya menstabilkan negara selama lebih dari 40 tahun,” katanya.
Khamis lalu, Dr Mahathir mencadangkan penubuhan sebuah badan MAGERAN ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.

