Srikandi Bersatu mahu pengasas produk kosmetik dikenakan tindakan tegas

0
2

POLIS dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan tegas kepada seorang pengasas produk kosmetik yang didakwa berkomunikasi secara lucah melibatkan kanak-kanak dalam ‘Instagram Live’.

Exco Srikandi Bersatu, Ainie Haziqah berkata pihak berkuasa perlu menapis bahan yang tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak bawah umur bagi mengelak isu seperti itu berulang.

“Saya ada terbaca dan menonton berkenaan isu usahawan kosmetik sensasi yang membuat ‘Instagram Live’ bersama seorang rakannya serta dua kanak-kanak bawah umur.

“Dalam sesi perbualan secara langsung tersebut, mereka telah berkomunikasi secara lucah terhadap kanak-kanak bawah umur tersebut. Dalam sesi ‘Instagram Live’ itu juga, pengasas produk kosmetik itu dilihat menggalakkan dua kanak-kanak bawah umur mengambil bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ainie Haziqah berkata, tindakan pengasas produk kosmetik dan rakannya itu bertentangan dengan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998: Perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kesalahan di bawah OBD (orang belum dewasa) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Menurutnya, perbuatan itu boleh dikategori sebagai antun seksual atau ‘sexual grooming’ yang boleh membawa hukuman pemenjaraan tidak melebihi lima tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan.

“Kanak-kanak bawah umur sepatutnya dilindungi daripada perbuatan tidak bermoral dan negatif yang boleh mempengaruhi mereka.

“Sebagai ibu, saya mengajak ibu bapa untuk sentiasa mengawasi kanak-kanak bawah umur terutama peralatan elektronik mereka agar tidak menyalahgunakan peranti ini.

“Saya gusar jika perbuatan tidak bermoral ini tidak dikawal, boleh menjerumus kepada isu lebih besar seperti pedofilia dan perkongsian bahan lucah,” katanya lagi.

Hari ini, pemilik Instagram (IG) safieyillias94 ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung perbualan lucah dan amang seksual yang membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menahan pengasas produk itu semalam selepas menerima satu laporan berhubung perbuatan tersebut.

“Kita akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/06/11/safieyillias-ditahan-polis/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here