Tak perlu Mageran, darurat dah cukup tapi…

0
1

MAJLIS Gerakan Negara (Mageran) tidak perlu ditubuhkan kerana proklamasi darurat dilaksanakan kerajaan ketika ini sepatutnya sudah cukup untuk menangani pelbagai isu dalam negara berkaitan Covid-19.

Bagaimanapun Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ia tidak berlaku kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan darurat untuk tujuan lain.

Bercakap kepada media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi, Ahmad Zahid berkata, tiada sebarang usul berhubung penubuhan Mageran yang disuarakan beliau kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Saya tidak bincang soal itu (Mageran). Sebab darurat sepatutnya mencakupi tujuan itu (Megeran) tapi (darurat) digunakan untuk (tujuan) lain,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan beliau membawa usul penubuhan Mageran kepada Yang di-Pertuan Agong ketika majlis menghadap di Istana Negara semalam.

Bekas Perdana Menteri berkata, Mageran adalah badan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 bagi menangani krisis-krisis yang sedang melanda negara.

Dr Mahathir turut menyenaraikan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran ketika sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun menurut Dr Mahathir, Al-Sultan Abdullah tidak menolak cadangan yang dikemukakan beliau sebaliknya menitahkan bahawa adalah lebih baik cadangan penubuhan Mageran itu datangnya daripada kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here