PENGAGIHAN vaksin Covid-19 di Selangor akan dipertingkatkan lagi dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata buat masa ini penghantaran vaksin ke Selangor adalah 17 peratus daripada keseluruhan vaksin yang dihantar ke seluruh negara.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berkata memandangkan populasi penduduk Selangor yang tinggi kerajaan memutuskan meningkatkan kapasiti penghantaran vaksin ke negeri itu sehingga 25 peratus.
“Populasi di Selangor bagi golongan berusia 18 tahun ke atas berbanding keseluruhan populasi negara adalah lebih kurang 20 peratus.
“Setakat ini penghantaran vaksin ke Selangor sebagai contoh pada bulan ini 17 peratus daripada penghantaran ke seluruh negara.
“Sebab itu Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah membuat keputusan beberapa minggu lalu untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin di Selangor supaya dapat dihantar lebih banyak lagi vaksin,” katanya dalam sidang media mingguan perkembangan PICK hari ini.
Beliau menjelaskan, kapasiti di PPV di Selangor selama ini tidak berjaya untuk menampung penghantaran kapasiti lebih besar
“Sebab itu kita buat keputusan agar penghantaran untuk Selangor dapat ditingkatkan lagi dengan pembukaan lebih banyak PPV
“CITF telah membuka beberapa PPV baharu di Selangor iaitu berskala besar antaranya Pusat Konvensyen Setia Alam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan beberapa lagi PPV mega yang akan dibuka di dalam masa terdekat.
“Ini dapat memberi keutamaan kepada Selangor selaras usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 di Lembah Klang,” katanya.
Menurutnya, terdapat penduduk Selangor yang beralamat di Kuala Lumpur dan sebab itu data keseluruhan untuk Selangor ada yang bercampur aduk dengan data Kuala Lumpur.
“Namun demikian CITF mengambil maklum atas titah Sultan Selangor semalam untuk memastikan kita memberi tumpuan lebih untuk mengawal penularan Covid-19 di Selangor dan memberi keutamaan khas kepada negeri yang mempunyai populasi yang paling tinggi ini.
“Ini perancangan yang kita telah mulakan beberapa minggu lalu dengan pembukaan PPV lebih banyak dan akan meningkatkan pengagihan penghantaran vaksin ke Selangor kepada 25 peratus daripada keseluruhan penghantaran ke seluruh negara.
“Kita akan meningkatkannya lagi apabila menerima bekalan vaksin tambahan pada bulan yang akan datang,” katanya.
Semalam Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana Selangor menerima jumlah vaksin yang rendah daripada yang sepatutnya diterima.
Baginda terkejut apabila CITF mengesahkan, sehingga 1 Jun lalu Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19 berbanding 2.9 juta dos yang sepatutnya diterima. – Malaysiapost

