Sepanggar sebulan tak ada air, GRS diminta berhenti berbalah – Azis Jamman

0
1

MASALAH bekalan air meruncing sedang melanda penduduk di kawasan Sepanggar, Sabah ketika ini.

Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman berkata, penduduk di kawasan Parlimennya sering mengalami gangguan bekalan air bersih yang menyebabkan rutin harian kehidupan mereka terganggu.

“Hari ini merupakan hari kesembilan “Total Lockdown” dan saya ingin mengambil perhatian kerajaan akan kesukaran dihadapi rakyat khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar.

“Saya tidak ingin sentuh soal bantuan bakul makanan, moratorium, one-off dan sebagainya yang sehingga ke hari ini, kemungkinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih menunggu lampu hijau Kuala Lumpur tetapi kenyataan media saya lebih menjurus kepada isu bekalan air bersih.

“Amat menyedihkan kerana ada kawasan di Sepanggar yang tidak menerima bekalan air melebihi sebulan dan ada penduduk taman memaklumkan kepada saya ini kejadian terburuk pernah berlaku sejak lebih lima tahun dia tinggal di taman perumahan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azis, sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu, beliau telah menghantar air di beberapa taman perumahan dan perkampungan bagi membantu meringankan masalah ditanggung penduduk.

“Walaupun mereka nyatakan Jabatan Air ada menghantar air namun yang pasti ia tidak memadai dengan hanya satu atau dua lori sahaja dan tidak dijadualkan dan dilakukan secara berkala,” katanya.

Justeru, Mohd Azis berharap kerajaan negeri menyelesaikan isu itu segera dengan memberi keutamaan menjaga kebajikan rakyat daripada berbalah siapa yang berkuasa projek bekalan air di Sepanggar.

“Air adalah keperluan asas manusia tetapi mengapa keutamaan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) lebih tertumpu kepada berebut kuasa tentang perlaksanaan projek?

“YB Menteri Infrastruktur dan Menteri Kewangan lebih kelihatan berbalah tentang siapa berkuasa melulus dan melaksanakan projek berbanding berkerjasama menyelesaikan masalah bekalan air di Sepanggar dan kawasan di sekitarnya?

“Takkanlah kerajaan minta rakyat menunggu bekalan air sehingga tahun 2023? Apa pelan jangka pendek,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here