KPT diminta kurangkan yuran pengajian IPTA, IPTS

0
1

PERTUBUHAN Kebajikan Komuniti Perihatin Malaysia (PRIHATIN) memohon Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempertimbangkan pengurangan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata pihaknya berharap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dapat mengkaji semula jumlah yuran pengajian di semua institusi itu berikutan penularan wabak Covid-19 masih lagi berada di tahap membimbangkan dam negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Beliau berkata, ketika ini pengajian dibuat secara dalam talian dan pelajar tidak dibenarkan menghadiri kelas.

“Oleh yang demikian, tentu banyak fasiliti seperti dewan, kelas dan sebagainya tidak dapat digunakan. Malah, perpustakaan digunakan secara online.

“Jadi penggunaan kemudahan dan semua fasiliti di universiti ketika ini adalah pada tahap minimum. Begitu juga konvokesyen graduan universiti dibuat secara maya dan tidak lagi mengadakan sambutan seperti dulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maka, kata beliau, pihak universiti dapat membuat penjimatan dari sumber tenaga elektrik, air dan sebagainya ketika ini.

“Walaupun pengurusan universiti masih berjalan oleh kerana kerja pengurusan perlu dilakukan, ia tidak memberi kesan yang besar terhadap perbelanjaan kepada universiti.

“Dalam hal seperti ini banyak penjimatan dapat dilakukan, tetapi mengapa pelajar masih perlu membayar penuh yuran pengajian mereka di universiti? YB Menteri digesa untuk melihat secara dalam berkenaan isu ini,” katanya.

Jelasnya, ketika ini, ramai tidak dapat bekerja dan diberhentikan disebabkan kesan pandemik Covid-19 termasuk ibu bapa serta penjaga pelajar universiti.

“Jadi ia amat memberi kesan yang besar kepada pelajar disebabkan kebanyakan pelajar ini akan menanggung hutang pembiyaan yuran pengajian mereka pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, Irwan Fahmi berkata PRIHATIN mencadangkan agar KPT dapat menyelesaikan perkara tersebut dengan semua universiti terutama swasta kerana yuran pengajian di institusi itu lebih mahal.

“PRIHATIN juga yakin usaha ini dapat memberi kesan yang positif dan memberi impak yang baik kepada ekonomi palajar universiti secara keseluruhan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here