Sultan Selangor kecewa, tak berkenan dengan golongan anti-vaksin

0
1

SULTAN Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan anti-vaksin di negeri itu.

Sehubungan itu, baginda berharap sekalian rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan berkata baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19.

“Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai, sekali gus meletakkan negara dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya,” katanya.

Mohamad Munir berkata, baginda menasihatkan rakyat yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati.

“Dalam masa sama, Baginda merayu sekalian rakyat agar terus tekun mematuhi arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Ini termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan SOP wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan diri,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan menyampai penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di hospital kerajaan dan swasta, serta klinik kesihatan.

Menurutnya, baginda amat menghargai mereka yang masih bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh komited dan berdedikasi, demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan rakyat sentiasa terpelihara.

“Baginda berharap seluruh rakyat dapat menghargai pengorbanan frontliners ini dan memberi kerjasama penuh dalam usaha mengawal dan menghapuskan pandemik Covid-19 di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here