AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan keputusan Kerajaan Negeri Sabah untuk membeli 10,000 komputer untuk pelajar di negeri itu.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah memaklumkan pengagihan komputer itu akan dibuat bermula dari 19 Julai hingga 18 Oktober depan.
“Hasrat ini memang baik dan perlu disokong. Namun, yang peliknya kita semua tahu bahawa Kerajaan Pusat sememangnya telah berjanji untuk membekalkan 150,000 komputer kepada pelajar di seluruh Malaysia.
“Baru semalam Menteri Pendidikan telah membuat sidang akhbar dan mengumumkan sebanyak 12,887 komputer telah pun diedarkan kepada pelajar di seluruh negara dan sejumlah 40,290 buah lagi akan diedarkan selewat-lewatnya 12 Jun 2021 ini.
“Baki 96,823 buah komputer itu akan diedarkan pada bulan September 2021. Takkan kerajaan negeri Sabah tidak boleh tunggu sebulan kerana komputer kerajaan pusat akan diagihkan pada bulan September,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Abdul Rahman juga bertanya apa keperluan kerajaan negeri itu membeli 10,000 komputer dengan kos RM15 juta sedangkan Kerajaan Pusat akan membekalkan 150,000 buah kepada pelajar di seluruh negara termasuk di Sabah.
“Alangkah baiknya RM15 juta itu dapat dibelanjakan untuk membantu peniaga kecil dan orang kampung yang menderita semasa lockdown ini,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan pengagihan 150,000 komputer riba bagi pelajar B40 menerusi inisiatif Cerdik dijangka selesai pada hujung September ini.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 12,887 unit peranti itu diagihkan ke 96 buah sekolah di kawasan 51 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).
Sementara itu, mengambil kira situasi semasa, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membuat ketetapan bahawa untuk tempoh 25 hari persekolahan selepas ini akan laksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menurutnya, pada waktu ini sekolah sedang dalam cuti pertengahan tahun dan sesi persekolahan berikutnya mengikut takwim akan bermula pada 13 Jun untuk negeri kumpulan A dan 14 Jun untuk negeri kumpulan B. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/27/bantuan-150000-komputer-riba-untuk-b40-dipercepatkan-bulan-depan/

