Bekas Ahli Parlimen Kemaman meninggal dunia

0
1

BEKAS Ahli Parlimen Kemaman, Abd Rahman Yusof meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), semalam.

Abd Rahman yang merupakan bekas Pengerusi PKR Terengganu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.06 malam selepas enam bulan bertarung dengan penyakit kanser paru-paru tahap empat.

Adiknya, Norhusni berkata, mereka sekeluarga dimaklumkan pemergian Abd Rahman oleh anaknya yang berada di hospital bersama arwah.

“Kepada mereka yang mengenali Allahyarham, mohon maafkan segala salah silapnya, halalkan makan minumnya dan jika ada hutang boleh hubungi kami warisnya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurut Norhusni, jenazah Abd Rahman akan dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara kira-kira jam 10 pagi ini.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Setiausaha Politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan isteri, Armila Alias dan 10 orang anak.

Kredit Foto : Sinar Harian

Abd Rahman memenangi kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Zaki Wan Muda dengan 20,715 undi.

Allahyarham pernah bertanding di kerusi Parlimen Dungun pada PRU lalu namun tewas dengan 6,833 undi.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebooknya, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan rohnya ditempat bersama para solihin.

“Menerima berita sedih bahawa teman, sahabat dan juga mantan Ahli Parlimen Kemaman Abd Rahman Yusof telah pergi dijemput ilahi.

“Saya doakan keluarganya kuat saat diuji, dan semoga ruhnya ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here