Selangor hanya terima 615,210 dos vaksin, Sultan Sharafuddin zahir rasa terkejut

0
1

SULTAN Selangor menzahirkan rasa terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk di Selangor berjumlah 6.5 juta.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan berkata baginda juga mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri itu.

“Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga mahu agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.

“Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi,” katanya.

Mohamad Munir berkata baginda turut memuji langkah kerajaan Selangor yang agresif melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri.

Katanya, baginda berdukacita melihat angka harian kes positif baharu di Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun mencecah 203,520, serta jumlah kematian yang amat membimbangkan iaitu 961 kes sehingga 7 Jun.

“Untuk itu, baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat Selangor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here