KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) terus komited memastikan keseluruhan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), keluarga mereka dan kakitangan awam kementerian akan menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini memandangkan risiko penugasan mereka sebagai barisan hadapan yang sangat terdedah kepada penularan wabak pendemik tersebut.
Komitmen itu dinyatakan Ismail Sabri selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Katanya, PPV tersebut menjadi perintis kepada pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Setelah melihat pelaksanaan program vaksinasi pandu lalu ini, saya percaya program di bawah kendalian Tentera Darat Malaysia ini akan mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan.
“Dengan kemampuan yang tinggi untuk meningkatkan jumlah penerima vaksin, Kementerian Pertahanan akan memohon lebih banyak jumlah vaksin untuk warga tentera, keluarga dan kakitangan awam kementerian,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Malaysiapost

