PKS mikro dapat bantuan GKP Khamis ini

0
1
Persiapan terakhir premis-premis perniagaan menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 'Total Lockdown' ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

HAMPIR sejuta golongan di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro akan menerima bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) mulai Khamis ini secara berperingkat.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP dan semakan status kelulusan boleh dibuat mulai hari ini di https://gkp.hasil.gov.my.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata bayaran itu membabitkan penerima sedia ada GKP 1.0 dan GKP 2.0 serta PKS mikro yang baru lulus GKP 3.0.

Menurutnya, mereka akan menerima bayaran RM1,000 dengan melibatkan implikasi kewangan hampir RM1 bilion.

“Melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan pada 17 Mac lalu, kerajaan memutuskan pemberian GKP RM1,000 kepada lebih sejuta peniaga mikro untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka, khususnya dalam menguruskan aliran tunai masing-masing.

“Pada 31 Mei lalu, melalui PEMERKASA+, kerajaan mengumumkan komitmen sama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di mana tambahan RM500 akan dibuat menjadikan jumlah bayaran kepada RM1,500 bagi setiap PKS mikro.

“Ini bermakna, jumlah bayaran GKP 3.0 adalah sebanyak RM1.5 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bayaran tambahan RM500 melibatkan peruntukan hampir RM5 juta akan dibayar pada Julai ini.

“Secara keseluruhan, sejumlah RM5.08 bilion telah dan akan disalurkan kepada hampir 1 juta PKS mikro dibawah GKP senenjak Covid-19 melanda negara.

“Kerajaan berharap agar bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 pada kali ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here