DEWAN Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) melahirkan rasa kecewa kerana harapan melihat rakyat M40 dan B40 mendapat moratorium secara automatik selama tiga bulan tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, Ketua DPIM, Shahir Adnan berkata rakyat terpaksa mengikat perut sekali lagi sedangkan pihak bank mencatat keuntungan tinggi pada suku pertama 2021.
Katanya, realitinya pihak bank boleh bersama-sama meringankan beban rakyat dengan memberi moratorium secara automatik dan tidak terhad kepada golongan B40 sahaja.
“Ramai yang terhimpit dengan desakan hidup, termasuklah golongan M40, terutama di bandar-bandar.
“Golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut memerlukan moratorium pinjaman kerana perniagaan mereka terjejas.
“Menteri Kewangan (Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz) perlu menjadi wakil rakyat, bukan wakil bank,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir yang juga Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan berkata penambahbaikan lain yang diharapkan adalah pengeluaran tambahan daripada simpanan rakyat sendiri melalui KWSP i-Sinar dan i-Lestari 2.0.
Namun katanya ia juga tidak dicadangkan oleh Menteri Kewangan, dengan alasan untuk simpanan hari tua.
“Namun begitu, situasi yang meruncing pada hari ini seharusnya dijadikan sandaran agar rakyat dapat bernafas.
“Simpanan hari tua boleh difokuskan oleh kerajaan dengan pelaburan dan pulangan dividen tinggi kepada pencarum KWSP untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.
Beliau seterusnya meminta rakyat agar bersama-sama kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 yang semakin mengganas.
Pada masa sama katanya, kerajaan pula diharap mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat agar tiada yang tersisih,” katanya. – Malaysiapost

