AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menempatkan trak vaksin bergerak di lokasi tumpuan awam seperti Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI).
Beliau berkata, ia kerana kawasan itu dilengkapi fasiliti awam dan tempat letak kereta yang luas.
Jelasnya, langkah menempatkan trak vaksin bergerak di lokasi seperti pasar awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau pasar besar akan membantu peniaga dan pekerja mereka menerima vaksin lebih cepat.
“Ia kerana saban hari mereka terpaksa berinteraksi dengan ribuan pengunjung pasar atau penghantar barang bermotosikal yang berkemungkinan terdedah kepada risiko dijangkiti Covid-19.
“Saya difahamkan pasar awam saiz besar seperti ini mempunyai pengunjung sekitar 1,200 hingga 1,500 orang setiap hari dan boleh mencecah 3,000 orang hujung minggu (ini sudah hampir saiz satu PPV mega).
“Jadi, cadangan ini akan melindungi pengunjung pasar yang kebanyakan mereka terdiri daripada golongan warga emas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KWP harus mengambil pengajaran daripada kes kluster pasar borong tahun lalu, melibatkan peniaga dan ahli keluarga, pengunjung serta orang yang mempunyai kontak rapat dengan mereka.
“Cadangan ini jika dilaksanakan berpotensi mengelak kluster besar dan memberi keselesaan minda kepada semua pihak,” katanya.
Terdahulu, KWP melaksanakan inisiatif trak vaksin bergerak atau ‘Mobile Vaccine Truck’ yang akan bermula 15 Jun ini.
Penduduk di Wilayah Persekutuan boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk in’ dengan keutamaan diberi kepada mereka dalam kategori rentan dan terjejas. – Malaysiapost

