LELAKI maut selepas kereta dipandunya merempuh batu konkrit pembahagi tol di Plaza Tol Setia Alam, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Chew Teck Chan, 34, yang beralamat di Setia Alam meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata siasatan awal mendapati mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Setia Alam menuju ke Shah Alam sebelum kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan dan merempuh batu konkrit pembahagi tol di lorong tol Smart Tag.
“Akibat daripada pelanggaran itu mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit yang kemudiannya disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayatnya dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Malaysiapost

