Tayangan ‘All Together Now Malaysia’ dihentikan sementara

0
1

PIHAK penerbitan rancangan ‘All Together Now Malaysia’ memutuskan untuk menghentikan sementara program berkenaan sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) selesai.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, berkata rakaman program tersebut dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Krew penerbitan sudah menjalankan ujian calitan Covid-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula. Hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman.

“Set yang dibina mengambil kira penjarakan fizikal dan berjarak 1.5 meter antara setiap juri di samping penghadang lutsinar turut diletakkan bagi memisahkan mereka,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Menurutnya, rakaman program berkenaan turut dihadiri wakil daripada agensi keselamatan.

Terdahulu, media tempatan memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran SOP.

Ketua Pengarah MKN, Datuk Mohd Rabin Basir, berkata siasatan ke atas rancangan itu akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), jelas laporan itu.

Laporan itu turut memetik bahawa KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya, jika mereka mengenal pasti wujud berlakunya pelanggaran SOP sepanjang rakaman program berkenaan. – Malaysiapost

Foto Kredit: Gempak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here