Tidak kemaskini MySejahtera, tidak dikenakan kompaun – Ismail Sabri

0
1

INDIVIDU yang tidak mengemaskini aplikasi MySejahtera, bukan satu kesalahan dan tidak boleh dikenakan kompaun, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini kerana berdasarkan kepada Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit – Covid Malaysia yang mana ianya tidak terkandung sebagai satu kesalahan untuk dikenakan kompaun oleh mana-mana penguatkuasa.

“Saya berharap dan menyarankan mana-mana kompaun yang telah dikeluarkan atas kesalahan itu perlu dibatalkan.

“Pegawai penguatkuasa juga disarankan supaya tidak salah dalam membuat sebarang tafsiran berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hal ini juga termasuk kesalahan melanggar SOP melibatkan syarikat atau kilang yang beroperasi melebihi masa ditetapkan.

“Jika ia berlaku, tindakan penguatkuasaan perlu dibuat kepada majikan atau syarikat yang memaksa pekerja melakukan tugas lebih dari masa ditetapkan.

“Kesalahan bukan dilakukan oleh pekerja kerana mereka terpaksa akur kepada arahan majikan, maka tindakan kompaun boleh dikeluarkan kepada pihak syarikat, kilang atau majikan yang memberikan arahan.

“Begitu juga kepada mana-mana syarikat yang masih menetapkan pekerjanya bertugas di tempat kerja atau datang ke pejabat biarpun ada arahan untuk melaksanakannya di rumah (work from home), kompaun adalah kepada majikan juga,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak menjadi kesalahan di bawah Akta 342 jika tidak mengemaskini MySejahtera, namun sebagai warga yang mahukan Covid-19 terputus, kita juga perlu berintegriti dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap aplikasi MySejahtera.

“Ini kerana MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

“Justeru, aplikasi ini bukan hanya untuk kita mengimbas sekiranya memasuki sesuatu tempat, tetapi lebih penting melakukan kemaskini setiap hari, malah setiap masa sekiranya perlu bergantung kepada pergerakan serta aktiviti kita pada hari itu,” katanya.

Ia susulan, timbul kekeliruan kebelakangan ini berhubung salah faham penggunaan aplikasi MySejahtera dengan terdapatnya anggota penguatkuasa mengeluarkan kompaun kepada mereka yang gagal melakukan kemaskini MySejahtera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here