PKP: Utamakan PdPR, tangguh program tidak berkaitan – PH

0
1
Seorang kakitangan swasta, Siti Saleha Mohd Salleh, 37 (dua kiri) tekun melakukan kerja dalam talian semasa bekerja di rumah sambil membimbing anak-anaknya, Syafi Amni Sharil Amin, 8 (kanan) dan Syaza Afrina Sharil Amin, 6 (dua kanan) serta anak saudaranya, Nur Amara Sofia Mohd Hakim, 6 (kiri) belajar secara atas talian (online) di rumah kediamannya, Setapak.

JAWATANKUASA Pendidikan Pakatan Harapan menyokong kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan mengutamakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan semua program tidak berkaitan ditangguhkan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini.

Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, ia kerana hanya akan menambah beban serta tumpuan guru semasa PdPR.

Katanya, walaupun masyarakat lebih bersedia pada PKP 3.0 ini termasuk bidang pendidikan lantaran pengalaman ini telah masuk tahun kedua, namun isu keciciran yang telah berlaku sebelum ini belum dapat di atasi.

“Ramai murid masih tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana tiada peranti dan isu capaian internet.

“Ramai guru yang baru berjinak dengan Pembelajaran dan Pemudahcara melalui internet. Mereka perlu belajar, di samping mengajar. Guru kelihatan bersungguh-sungguh mencuba sesuatu yang tidak pernah mereka terfikir akan melakukannya sebelum ini. Bahkan, ada guru mempunyai studio di rumah, chanel youtube mereka sendiri dan pelbagai lagi.

“Guru perlu sentiasa berusaha agar semua murid dapat belajar walaupun tiada peranti dan internet. Tahniah saya ucapkan kepada mereka semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada sebahagian guru yang berusaha mencetak bahan pembelajaran dan menyerahkan kepada murid di rumah.

“Pelbagai cara dan usaha dilakukan untuk memastikan murid tidak terus tercicir. Syabas saya ucapkan kepada mereka.

“Justeru, program yang tidak berkaitan dengan PdPR ini seharusnya ditangguhkan buat masa ini.

“Antara program yang perlu ditangguhkan ialah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), Pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di bawah Inisiatif #20 PPPM2021, Perancangan Strategi Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT, Pelaksanaan Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pelaksanaan Dialog Prestasi, Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Pelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP),” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersetuju sesi PdPR dilaksanakan, namun memandangkan kes Covid-19 yang masih tinggi dan majoriti guru serta kakitangan sekolah yang belum menerima suntikan vaksin.

“Dua keadaan ini boleh mendedahkan guru dan murid kepada kadar kebolehjangkitan virus yang lebih tinggi jika mereka kembali ke sekolah.

“Justeru, tempoh PdPR dan cuti Pertengahan Penggal dari 13 Jun hingga 26 Julai hendaklah dipastikan supaya semua guru dan kakitangan sekolah mendapat suntikan vaksin sebelum perencanaan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here