PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi pengamal media kerana golongan itu juga adalah barisan hadapan.
Ketua Penerangan (Penaja), Ulya Aqamah Husamudin, berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada 18 April lalu meminta supaya pemberian vaksin kepada pengamal media disegerakan memandangkan mereka juga adalah barisan hadapan.
Menurutnya, Saifuddin seterusnya memaklumkan vaksinasi membabitkan pengamal media mungkin dibuat dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada April.
Beliau berkata, manakala pada 28 April pula Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengumumkan seramai 1,500 petugas media akan diberi vaksinasi pada Mei.
Malangnya sehingga 7 Jun, dua bulan selepas fasa kedua PICK telah bermula, ternyata kedua-dua Menteri yang bertanggungjawab untuk vaksinasi pengamal media gagal menepati janji mereka.
“Peliknya, pelbagai program kerajaan berterapkan usaha-usaha kerajaan menangani Covid-19 telah dianjurkan yang memerlukan kehadiran pengamal media untuk liputan, rata-ratanya memerlukan kehadiran fizikal.
“Kelihatan seperti segala penat lelah, risiko yang diambil dan pengorbanan pengamal media tidak diambil peduli,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ulya Aqamah juga mengingatkan Saifuddin dan Khairy bahawa pengamal media sering mengenepikan keselamatan diri bertugas di lapangan termasuk membuat penggambaran di hospital serta pengebumian dan bilik mayat mangsa Covid-19.
Tambahnya, pengamal media juga mempunyai keluarga dan jika dibandingkan dengan beberapa sektor yang lain, mereka terutama jurugambar dan juruvideo terpaksa keluar setiap hari mengambil visual dengan niat menabur bakti bagi negara untuk menangani Covid-19 sekali gus mencapai imuniti kelompok.
“Proses vaksinasi pengamal media perlu dipercepatkan, jangan lengah-lengahkan.
“Media juga adalah barisan hadapan. Bantu mereka permudahkan urusan tugasan mereka sebagai saluran maklumat kepada rakyat,” ujarnya.
Semalam, pengamal media meminta kerajaan menunaikan janjinya untuk melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan berkenaan yang berisiko kerana sering berada di lapangan membuat liputan.
Gesaan dibuat Kelab Media Putrajaya yang bimbang kerana ramai pengamal media masih menantikan tarikh pemberian vaksin daripada kerajaan menerusi Khairy yang juga Menteri PICK.
Artikel berkaitan :

