YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dilaporkan akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti politik utama di negara ini pada 9 hingga 11 Jun ini.
Perkembangan itu dilaporkan beberapa media yang menjangkakan pertemuan berkenaan bagi membincangkan situasi semasa termasuk perkembangan Covid-19 yang semakin meruncing ketika ini.
Memetik laporan SuaraTV, baginda dijangka bertemu Presiden Bersatu yang juga merupakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sesi pertama, diikuti dengan parti lain yang mempunyai perwakilan dalam Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, pertemuan tersebut hanyalah perbincangan bagi mendapat pandangan dan tiada sebarang perencanaan perubahan kerajaan darurat dalam masa terdekat.
Baginda juga dijangka menggunakan pertemuan tersebut untuk mendengar pandangan isu semasa dan mengenai lanjutan proklamasi darurat.
Proklamasi darurat disytihar pada 12 Januari lalu akan berakhir pada 1 Ogos ini. Baginda dijangka akan membuat keputusan sama ada akan menamatkan Darurat atau menyambung lagi pada Julai nanti.
Terdapat pandangan darurat wajar disambung sekurang-kurangnya sehingga 31 Disember ini memandangkan ancaman pandemik Covid-19 masih serius membabitkan ribuan kes sehari dan usaha vaksinasi belum mencapai 50 peratus.
Bagi pelanjutan tempoh darurat juga, Baginda dijangka akan mendengar pandangan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Sebelum ini, kerajaan berdepan tekanan banyak pihak meminta sidang Parlimen diadakan bagi membolehkan sistem demokrasi serta proses semak dan imbang berjalan walaupun dalam tempoh darurat. – Malaysiapost

