Pulau Pinang henti cadangan beli vaksin

0
1
Botol Vaksin AstraZaneca di PWTC.

KERAJAAN Pulau Pinang tidak akan meneruskan cadangan untuk membeli vaksin Covid-19 bagi keperluan penduduk negeri itu.

Ia susulan jaminan Kerajaan Pusat yang memaklumkan bekalan vaksin bagi negeri berkenaan akan ditambah sekurang-kurangnya setengah juta dos dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin ketika lawatan ke negeri itu minggu lalu juga memberi komitmen sasaran pemberian vaksin kepada penduduk Pulau Pinang dapat dicapai menerusi program itu.

Berdasarkan kepada jaminan itu, katanya, soal pembelian sendiri vaksin tidak lagi menjadi isu, lapor Berita Harian

Kon Yeow membuat kenyataan itu selepas melawat hari pertama operasi pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Setia SPICE Arena, Bayan Baru, di Georgetown, yang turut dihadiri Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Kon Yeow berkata, dengan tambahan vaksin yang akan diterima daripada Kerajaan Pusat, kerajaan negeri kini menyasarkan bagi memberikan vaksin kepada antara 15,000 hingga 20,000 penduduk sehari berbanding antara 10,000 hingga 15,000 sehari seperti ditetapkan ketika ini.

Katanya, peningkatan penerima vaksin itu juga bagi membolehkan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai pada Oktober depan atau mungkin lebih awal iaitu pada Ogos atau September.

“Keutamaan dan tumpuan kita ketika ini juga dari segi memastikan kemampuan PPV dan tenaga kerja mencukupi supaya matlamat harian pemberian vaksin dapat dicapai,” katanya.

PPV Setia SPICE Arena akan memberi suntikan vaksin kepada 1,000 penduduk sehari serta 3,000 orang pada hari bekerja dan 2,000 orang pada hujung minggu.

Selain PPV awam, enam hospital swasta turut dijadikan PPV bermula hari ini dan 14 Jun dengan kapasiti antara 50 hingga 200 penduduk sehari bergantung kepada kapasiti dan keupayaan.

Bagi PPV klinik pula, ketika ini 13 klinik sudah mendaftar dengan ada yang sudah mula beroperasi dengan kapasiti suntikan vaksin antara 36 hingga 90 penerima seminggu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here