HAL kecil jangan besar-besarkan, hal besar jangan sampai jadi kecil, Muhammad Sanusi Md Nor yang dikaitkan dengan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh.
Menteri Besar Kedah itu menyatakan demikian menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini sambil meminta semua pihak agar bertenang.
“Tenang-tenang sajalah kawan-kawan… jangan ribut-ribut. Hal kecil jangan besar-besarkan, hal besar jangan sampai jadi kecil.
“Kerja sendiri tak peduli, sibukkan diri dengan perhati kerja orang untuk cipta kerja baru… mungkinlah.
“Yang tak dak kerja cari kerja, yang ada kerja buatlah kerja masing-masing. Siap kerja di sini, esok baliklah sambung kerja di sana pula. Yang tak boleh kerja lagi, tunggu satt… lepas ni pakat-pakat kerja,” catatnya.
Semalam, satu hantaran dimuat naik pemilik Facebook, Nini Sirom, menunjukkan Sanusi bersama individu dipercayai pekerja Juru Autocity didakwa melakukan pandu uji sebuah pacuan empat roda jenis Ford.
Mengikut hantaran itu, pengguna akaun Facebook tersebut menegur tindakan terbabit kerana memandu uji kenderaan ketika sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ melanggar SOP ditetapkan.
Terdahulu hari ini, polis dilaporkan akan memanggil Menteri Besar Kedah itu dalam masa terdekat ini untuk siasatan lanjut.
“Kita akan panggil beliau serta pemilik pusat pameran berkenaan untuk siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad.
Shafee berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan/ Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021. – Malaysiapost

