Srikandi Keadilan persoal ‘u-turn’ dalam arahan tangguh Kongres PKR

0
1

SRIKANDI Keadilan menyatakan rasa bimbang dengan trend ‘u-turn’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya berkenaan arahan supaya Kongres PKR tidak diteruskan seperti dijadualkan hari ini walaupun secara maya.

Menerusi kenyataan hari ini, Srikandi Keadilan berkata pihaknya maklum bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) tiba-tiba memberi arahan supaya Kongres PKR yang sepatutnya diadakan pada 6 Jun, tidak boleh diteruskan walaupun hanya secara maya.

Maka menurutnya, tidak mustahil MKN boleh tiba-tiba memberi arahan supaya kelas, ceramah ataupun bengkel yang diadakan secara maya juga perlu dihentikan tanpa alasan munasabah.

Srikandi Keadilan berkata, seramai 656 perwakilan Wanita Keadilan selesai bersidang secara maya pada 4 Jun dan Srikandi telah memainkan peranan besar untuk menjayakannya.

“Berdasarkan pengalaman ini, kami yakin Kongres Nasional boleh diadakan secara maya sambil memenuhi semua prosedur operasi standard (SOP).

“Bagi kerajaan PN yang sering menyebut keperluan untuk meningkatkan penggunaan teknologi, tindakan bacul mereka untuk menghalang Kongres Nasional PKR adalah satu langkah ke belakang.

“Sama juga logiknya untuk Parlimen yang sepatutnya sudah boleh bersidang. Namun kerajaan PN ini, jelas sekali tidak pedulikan rakyat, termasuk wanita muda, dan lebih rela rakyat dibelenggu kekalutan, kesusahan dan bebanan demi mengekalkan kuasa sebagai kerajaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Srikandi Keadilan Pusat, Raiyan Abdul Rahim serta semua ketua Srikandi negeri-negeri.

Semalam MKN mengarahkan Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung hari ini ditangguhkan.

Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata parti itu menerima surat daripada MKN kelmarin dan makluman secara lisan daripada Pendaftar Pertubuhan pada hari sama.

Nik Nazmi berkata, arahan terbaharu MKN itu bertentangan dengan surat pada 27 Mei lalu yang menyatakan MKN tiada halangan terhadap penganjuran Kongres Nasional PKR secara dalam talian sepenuhnya.

“PKR merakam bantahan keras tetapi terpaksa akur dengan arahan ini dan Majlis Pimpinan Pusat membuat keputusan untuk menangguhkan Kongres Nasional parti ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here